Penulis: Maria Kajiwa
Penerbit: Love Novel Publishing Sdn. Bhd.
Tahun Terbitan: Cetakan Pertama – 2019
Muka Surat: 376
Bacaan melalui Ebook dari PNM e-Reader
( 29/06/2022 – 01/07/2022 )
Sinopsis
Kerana janji hati nuraninya mati…
Ustaz Muiz, seorang guru agama berhasrat untuk mendirikan sebuah madrasah di kampungnya sebagai pusat mengajar ilmu agama yang lebih tersusun. Dia mendapat sokongan daripada isteri, kawan dan penduduk kampung tetapi ditentang oleh Sahir Zub-yan dan konco-konconya.
“Kita akan buat apa sahaja asalkan rancangannya gagal.” – Sahir Zub-yan
Sahir Zub-yan, seorang ahli sihir Kaum Kan. Dia tinggal di Gunung Dayan dalam daerah Hasam Hurang, salah sebuah daerah dunia gelap. Sejak dahulu dia menentang segala usaha Ustaz Muiz untuk menghidupkan syiar Islam dan menyebarkan dakwah.
Bersama pembantunya yang setia bernama Derani, mereka menghasut seorang guru silat untuk menentang dan mengkhianati Ustaz Muiz sekeluarga dengan menggunakan ilmu hitam. Tapak madrasah, isteri dan anak Ustaz Muiz menjadi sasaran.
“Engkau sanggup menukar imanmu dengan nyawanya?” Sahir Zub-yan.
Adakah Ustaz Muiz akan tunduk kepada segala seksaan dan ugutan mereka bertiga? Mampukah dia mempertahankan pendiriannya? Ikutilah sebuah pertarungan antara dua pegangan dan dua dunia yang berbeza.
Review
Novel ni mengenai kisah kehidupan Ustaz Muiz pada tahun 1990 yang nak membina sebuah madrasah di kampungnya, Kampung Gelam Tikus namun banyak ujian yang terpaksa dihadapi termasuklah campur tangan makhluk dari alam lain.
"Setiap orang Muslim akan diuji. Ujian hidup itu sunnatullah kauniyah. Kita tak boleh lari, malah semakin kuat iman seseorang itu, semakin kuat dia diuji." - Ustaz Muiz
"Relakan dirimu menerima ujian sebagaimana engkau rela menerima nikmat. Allah itu Maha Pengasih" - Ustaz Majdi
Tujuannya hanyalah nak penduduk kampung dapat belajar ilmu agama dengan lebih mendalam tapi perkara tu dah mengganggu ketenteraman dan melemahkan kaum ahli sihir ilmu hitam yang diketuai Sahir Zub-yan yang tinggal berhampiran di Hutan Hasam Hurang, Gunung Dayan. Salah satu daerah dalam dunia gelap yang dipenuhi Kaum Kan dan bersahabat dengan jin kafir.
Sahir Zub-yan dan pembantunya Derani merangka pelbagai cara untuk menggagalkan usaha Ustaz Muiz. Salah satu cara yang dia buat ialah menghasut Salim, atau Mahaguru Salim, tok guru silat yang mengamalkan aliran silat Suci Giring dari Tanah Jawa untuk tarik penduduk kampung mengamalkan ajaran yang dibawanya dan juga supaya Ustaz Muiz terpesong dan tunduk pada Sahir Zub-yan. Sahir Zub-yan ni berhajat nak jadikan Ustaz Muiz korban teragungnya untuk dipersembahkan kepada Ghafanzar, sempena perhimpunan 1000 tahun untuk ketua-ketua mereka.
Salim ni sanggup menggadaikan keluarganya sendiri untuk dapat ilmu batin yang lebih kuat daripada gurunya, Suci Giring sebab dah termakan hasutan dan juga sebab malu atas siri kekalahan dia dengan Ustaz Muiz.
“Baru dia tahu, yang nak dilanggar ni bukan pokok jagung. Tapi tualang bertunjang tujuh alam. Setakat tiupan sepoi-sepoi bahasa tu, daun pun tak terselak,” -Salim
Sufiya, isteri Ustaz Muiz yang sarat hamil pun menjadi mangsa gangguan sehingga badannya menjadi seperti mayat dan berbau busuk. Sufiya berjaya diselamatkan dengan bantuan Ustaz Majdi dan melahirkan bayi perempuan iaitu Muhayya.
Ujian Ustaz Muiz tak terhenti dekat situ sahaja. Banyak lagi perkara yang menimpa keatasnya sehingga dia terpaksa serahkan projek pembinaan madrasah kepada Karim dan membawa isteri dan anaknya keluar dari kampung tersebut untuk keselamatan keluarganya.
“Dengki ni tak ubah seperti percikan api. Nampak membakar ke luar tapi tak sedar dirinya dulu hangus.” Ustaz Majdi
Novel ni merupakan karya kedua penulis Maria Kajiwa yang dibaca lepas novel Lengloi dan serius tak mengecewakan. Novel ni habis dalam masa 2 hari sahaja tu pun sebab kekangan masa. Kalau ikutkan tak terasa nak berhenti membaca dari awal sampai habis.
Penceritaan novel ni dari awal sampai habis memang seronok dan memang tak puas hati selagi tak baca sambungan sampai habis. Plot novel pun menarik, tak meleret dan sarat dengan pengajaran walaupun jalan cerita kebanyakannya hanya di sekitar Kampung Gelam Tikus. Watak Muhayya, anak Ustaz Muiz ada kisahnya tersendiri dalam karya penulis iaitu novel Stesen Terakhir tahun 2018 (tengah mencari novel ni tapi tak jumpa lagi).
Lara wirang memang bertepatan dengan antagonis kisah ni iaitu Salim dan Sahir Zub-yan. Kerana sakit hati dan malu, macam-macam dibuatnya supaya boleh dapat apa yang dihajatinya. Penceritaan tentang dunia gelap, ahli sihir pun digambarkan dengan baik.
“Sememangnya menjadi seorang pemarah itu mudah. Nafsu mudah saja mengapi-apikan. Tapi ingat pesan nabi. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a., bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: Musa bin Imran a.s. berkata: ‘Wahai Tuhanku, antara hamba-hamba-Mu, siapakah orang yang paling mulia dalam pandangan-Mu? Allah menjawab: Orang yang memaafkan walaupun dia mampu membalas. Hadis riwayat Baihaqi’.”
Total Rating : 4.9/5
0 Comments