Kenali apa itu Hikayat, Legenda, Mitos, dan Dongeng

Tuesday, January 5, 2021



Kita selalu mendengar atau membaca kisah atau cerita rakyat sejak kecil sama ada dari kenalan atau sesiapa sahaja tentang pelbagai kisah dahulu kala.


Tapi adakah kita tahu dan faham tentang perbezaaan sama ada cerita tersebut hanyalah cerita dongeng, lagenda, hikayat atau sekadar mitos.


Dibawah adalah sedikit pengenalan tentang maksud perkara tersebut.





Hikayat


Hikayat [hi.ka.yat] | حکايت, berasal dari perkataan Arab 'حکا' yang bermaksud 'bercerita', manakala 'حکاية' pula bermaksud 'cerita'.


Hikayat ialah salah satu bidang kesusasteraan Melayu silam iaitu sastera hikayat.


Sastera Hikayat ini merupakan koleksi pelbagai cerita mistik dan ajaib yang biasanya melibatkan unsur percintaan, pengembaraan dan juga peperangan.


Ia juga berbentuk tulisan dan ditulis dalam Bahasa Melayu lama serta dalam laras bahasa dan struktur tertentu yang terkenal dengan ketinggian bahasa dan sejarahnya.



Kebanyakan hikayat menceritakan tentang watak yang meliputi manusia biasa, raja-raja, dewa-dewi, para jin, hantu syaitan dan juga binatang manakala latar tempat dalam cerita merangkumi alam nyata dan juga di alam ghaib atau khayalan dan mistik seperti di kayangan, istana raja-raja jin, dewa-dewi dan juga alam hantu syaitan.


Cerita-cerita hikayat ini selalunya berbentuk panjang dan menceritakan mengenai seseorang atau kejadian yang penting yang mana plot ceritanya bersifat kronologi iaitu mengikut urutan masa dari awal sampai akhir cerita.


Apa yang menarik minat pembaca biasanya ialah gaya penceritaan tentang unsur-unsur luar biasa dan keindahan hikayat tersebut walaupun sesetengahnya akan menjangkau akal logik dan norma kehidupan.


Antara hikyat yang terkenal ialah Hikayat Merong Mahawangsa dan Hikayat Raja Pasai.



Legenda


Legenda [lé.gén.da] | ليݢيندا menurut Dewan Bahasa dan Pustaka ialah cerita (yang tidak dapat dipastikan benar tidaknya) yang bersangkutan dengan kisah-kisah bersejarah.


Legenda ini merupakan cerita prosa rakyat yang lebih berpijak di bumi nyata. Biasanya mengisahkan tentang tokoh-tokoh yang dipercayai benar wujud oleh penduduk dan menjadi kemegahan dan kebanggaan sesuatu bangsa tersebut.


Mereka ini memiliki ciri-ciri luar biasa dengan ketampanan, keperibadian tinggi, kebijaksanaan dan juga ilmu pahlawan yang tinggi serta memiliki keistimewaan tertentu yang tiada pada manusia biasa.


Ciri lainnya seperti taat setia yang suci dan luhur kepada raja, bangsa dan keluarga. Mereka ini banyak berbakti dan berjasa. Oleh sebab itu, mereka disenangi dan menjadi sebutan turun temurun oleh rakyat dan lantaran itu, perwatakan mereka telah ditokok tambah oleh masyarakat, malah sikap, pemikiran, dan tindakan mereka, dijadikan ikutan oleh sesetengah penduduk tertentu.


Legenda membicarakan tokoh-tokoh suci, juga tokoh-tokoh sekular, makhluk ghaib atau manusia biasa, boleh berlaku pada masa lalu tetapi tidak terlalu silam seperti mitos, atau masa kini, malah boleh berterusan sehingga ke masa depan.



Contoh legenda yang menjadi sebutan sehingga hari ini ialah Laksamana Hang Tuah, dan Mahsuri.



Mitos


Menurut Kamus Pelajar Edisi Kedua, Mitos, [mi.tos] | ميتوس didefinisi sebagai pertama ialah, cerita zaman dahulu yg dianggap benar, terutamanya yg mengandungi unsur-unsur konsep atau kepercayaan ttg sejarah awal kewujudan sesuatu suku bangsa, kejadian-kejadian alam, dsb. Definisi kedua ialah cerita tentang seseorang atau sesuatu yang tidak benar atau direka-reka; dongeng, bermitos mengandungi mitos atau terdapat mitos di dlmnya (bkn kisah, cerita dsb).


Dalam erti kata lain, mitos ini merupakan karya atau cerita zaman dahulu yang mengandungi unsur-unsur sesuatu kepercayan, namun tiada kesahihannya dan sekadar rekaan semata-mata untuk dipersembahkan kepada khalayak ramai samada dalam bentuk lisan atau tulisan.


Mitos merupakan unsur yang amat dominan dalam kesusasteraan Melayu lama. Hashim Awang (1986: 61) menyatakan bahawa mitos adalah jenis cerita rakyat yang mengisahkan mengenai manusia atau makhluk dan peristiwa luar biasa yang di luar logik fikiran manusia. Beliau menambah bahawa mitos terbahagi kepada dua jenis, iaitu mitos pembukaan sesuatu tempat dan asal usul, misalnya pembukaan negeri Melaka dan mitos ketokohan seseorang, misalnya Raja Iskandar Zulkarnain. Cerita-cerita mitos biasanya tidak dapat dikesan pengarangnya, dan ia diwarisi dari generasi ke generasi.



Dongeng

Definisi Dongeng, [do.ngéng] | دوڠيڠ menurut Kamus Pelajar Edisi Kedua ialah cerita rekaan yang mengkhayalkan dan sangat disukai oleh kanak-kanak. Maksud lainnya ialah kisah tidak benar (bukan berita,khabar dll) yang diada-adakan saja.


Cerita-cerita rekaan ini lebih bertujuan untuk memberi pengajaran dan mendidik anak-anak yang diwarisi turun temurun dalam pelbagai bentuk seperti lisan, bertulis dan perlambangan dengan pelbagai tema dan adat resam.


Antara kisah dongeng Melayu yang popular seperti kisah Si Tanggang, Pak Pandir, Musang Berjanggut, Bawang Putih Bawang Merah, kisah kepandaian Sang Kancil, dan Pak Kaduk yang mengajar anak muda tentang pantang larang, tradisi dan warisan turun temurun.

Post a Comment